Friday, December 23, 2011

Cara mudah bagaimana untuk mengenali orang yang berkualiti


Dalam memilih sahabat atau kawan, kita kena la pilih orang yang baik dan berkualiti. Sebab kawan kita tu nanti akan mempengaruhi perangai dan sikap kita. Kalau pilih kawan yang buruk perangai, sikit sebanyak perangai kita pun akan turut jadi buruk. Sebaliknya, kalau pilih kawan yang baik-baik, selalu pergi masjid contohnya, kita juga akan terikut-ikut jadi seperti kawan kita tu.

Tapi persoalannya ialah :

Macammana kita nak kenal seseorang itu baik? Macammana nak kenal seseorang itu berkualiti atau pun tidak?

Salah satu cara yang paling mudah untuk mengenali seseorang itu berkualiti atau pun tidak ialah, lihat kepada TUTUR BICARA atau PERKATAAN YANG DIUCAPKAN setiap hari.


Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang beriman pada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata baik atau diam” (Hadis riwayat Bukhari &Muslim).

Jika kita ingin tahu kualiti seseorang itu, lihat saja apa yang sering dikeluarkan daripada mulutnya.

Manusia dapat dikategorikan kualitinya kepada 4 tahap, berdasarkan kualiti tutur bicaranya.


Pertama : Orang yang berkualiti tinggi
Jika mereka berbicara, isinya sarat dengan hikmah, idea, gagasan, ilmu, zikir dan penyelesaian.

Orang seperti ini bicaranya bermanfaat pada dirinya sendiri dan juga bagi orang lain yang mendengarnya. Malah, apabila diajak berbual pastinya ada manfaat ilmu. Bicara mereka bermotivasi dan berpandangan positif dalam setiap perkara yang diutarakan.

Kedua, orang yang biasa-biasa saja
Ciri orang seperti ini adalah mereka sibuk menceritakan peristiwa contohnya melihat kemalangan jalan raya atau rompakan, dia juga pasti akan menceritakannya seolah-olah diri mereka berada di tempat itu.

Jika melalui semua bicara itu orang lain dapat mengambil hikmah maka tidak rugi, tapi jika sekadar memenatkan mulut sendiri tanpa manfaat tentu ia sia-sia.

Ketiga, orang rendah kualiti diri
Cirinya jika berbicara isinya hanya mengeluh, mencela dan menghina. Apa saja akan jadi bahan keluhannya. Contohnya, mereka sering mengeluh banyak masalah.

Mereka juga tidak tahu menghargai sesuatu misalnya, Jika dihidangkan makanan akan keluar keluhannya seperti ‘kenapa lauk ini kurang sedap’, namun begitu habis juga dimakannya.

Hari-harinya dipenuhi dengan bersungut seolah-olah segala yang berlaku penuh kekurangan. Alangkah ruginya hidup orang kategori seperti ini kerana seolah-olah tidak dapat membezakan nikmat dan musibah.

Keempat, orang yang cetek fikirannya
Iaitu mereka yang bicaranya hanya mengenai kehebatan dirinya atau kebaikan dirinya sedangkan hidup adalah pengabdian diri kepada Allah.

Mengapa mereka perlu bangga diri kerana semua itu kurniakan Allah. Golongan seperti itu sering dilihat menonjol dan mendominasi. Jika ada yang lebih baik darinya hatinya berasa tidak senang dan berharap orang itu segera jatuh.

Oleh itu berhati-hati apabila berbicara. Jagalah tutur percakapan kita dan kurangkanlah berkata-kata kerana ia akan mengurangi kesalahan kata kita. Jaga lidah sebaik mungkin kerana ia adalah amanah Allah s.w.t.






Akhirnya, sebagai renungan, hayati kata-kata hikmah Arab ini.

“Iza kaanal kalaamu minal fiddhah fas sukuutu minaz zahab”.
Yang bermaksud : “Jika kalam (kata-kata) itu daripada perak, maka diam itu daripada emas.”


Orang minda tahap rendah, akan kerap bercakap pasal hal orang lain. Orang minda tahap tinggi, akan kerap bercakap pasal idea dan kejayaan. Minda anda tahap yang mana satu?

No comments:

Post a Comment